Saturday 17 December 2011

Hafiz Hashemi Johaini

Profil Usahawan Pilihan


BIODATA

Nama: Hafiz Hashemi Johaini.
Umur: 27 tahun
Asal: Selangor
Pendidikan: Pengurusan dan Pentadbiran (Pengangkutan), UITM
Jawatan: Pemilik syarikat komputer kitar semula, Apex Technology

Siapa sangka, bermula daripada kesukaran membeli set komputer di universiti memberi idea kepada beliau untuk meneroka bisnes `komputer mampu milik’.  Kini beliau mampu mempunyai rangkaian lima kedai komputer di serata tanah air, tiga unit kedai bergerak di universiti awam utama di sekitar Lembah Klang, sebuah kilang dan menggaji lebih 20 pekerja.Usaha itu ternyata berbaloi selepas menjual set komputer terpakai dan mencapai pendapatan RM2,000 sebulan walaupun ketika itu masih bergelar pelajar universiti. Jualan set komputer itu tersemai di benak beliau. Walaubagaimanapun beliau turut bertekad utuk membangunkan perusahaan itu sebagai kerjaya.

Beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan  didorong daripada sikap tidak terlalu bergantung pada ibu bapa untuk menampung perbelanjaan di UiTM.  Sebaik tamat pengajian dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran (Pengangkutan), beliau tidak terburu-buru mengusahakan perniagaan sendiri. Sebaliknya beliau menimba ilmu dalam bidang jualan komputer dengan bekerja di sebuah syarikat milik bukan Bumiputera selama setahun. Pada 2004, Hafiz memberanikan dirinya menubuhkan Apex Technology yang memanfaatkan komputer terpakai yang dibaik pulih untuk dijual semula.Beliau mendapat sokongan padu daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) melalui beberapa kursus serta bimbingan dan khidmat nasihat, selain berbekalkan pengalaman sedia ada.

Menurut beliau, buat masa ini syarikat yang berpangkalan di Medan Idaman Business Centre, Gombak, Selangor itu mempunyai lima premis di Plaza Idaman, Gombak; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak, Selangor; Melaka; Tanah Merah, Kelantan; dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam.Selain itu, Apex Technology diperkukuhkan lagi melalui unit kedai bergeraknya di Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta sebuah kilang di Jalan Gombak.