Wednesday 29 February 2012

Munirah Yahya

Siswa usahawan
Oleh Hazwan Faisal Mohamad





Belajar menjadi usahawan
MENCEBURI bidang perniagaan tinggi risikonya, apatah pula jika dilakukan ketika masih di alam pengajian. Tanpa perancangan rapi termasuk bijak mengatur masa antara kuliah dan 'bekerja', perniagaan yang dibina boleh gulung tikar. Mampukah, siswa hari ini menjadi penuntut dan pada masa sama menjadi usahawan kecil? 
BERGELAR mahasiswa pada era globalisasi kini bukanlah suatu perkara mudah kerana mendepani pelbagai cabaran dari setiap sudut sekali gus memerlukan golongan terpelajar ini melengkapkan diri masing-masing dengan penguasaan ilmu, kemahiran, jati diri, pemikiran dan komunikasi. 

Tanpa persediaan rapi yang khusus dan jitu, dikhuatiri mahasiswa mudah tersungkur sejurus menempuh alam pekerjaan yang mengkehendaki setiap pekerja memiliki pelbagai kemahiran selain kecemerlangan akademik.
Terdapat juga yang menceburkan diri dalam dunia keusahawanan kerana menjanjikan pendapatan lumayan berbanding bekerja makan gaji, namun ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana tanpa ilmu yang cukup membolehkan mahasiswa kecundang.


Demi memperoleh pengalaman dalam selok-belok dunia perniagaan ada segelintir mahasiswa memberanikan diri mula berniaga ketika masih menuntut di universiti. Malah kini sudah ada yang terbabit dalam perniagaan berasaskan francais dengan mengeluarkan modal menggunakan wang sendiri dan perkara itu menimbulkan persoalan sama ada mereka mampu membahagikan masa antara pelajaran dan perniagaan yang diuruskan itu.
Pelajar tahun akhir jurusan Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Munirah Yahya, berpendapat tidak salah bagi mahasiswa terbabit dalam bidang perniagaan ketika masih belajar kerana ia membantu mereka mempelajari banyak perkara penting mengenai dunia perniagaan.


Selain itu, katanya, galakan daripada pengurusan universiti sendiri menjadikannya nekad untuk membuka perniagaan berkonsepkan francais dipanggil Ayamazz Roti Impit di bawah kelolaan syarikat KFC Holding Bhd bersama dua rakan yang lain.
"Memang diakui akan timbul masalah mengenai pembahagian masa antara akademik dan berniaga, namun sebelum memulakan perniagaan ini lagi saya sudah memikirkan segala-galanya.
"Kelas pengajian pada semester ini kebanyakannya bermula pada sebelah pagi, justeru gerai hanya akan dibuka selepas tamat kuliah hingga ke waktu malam," katanya.


Katanya, selain itu beliau dan rakannya akan bergilir-gilir menjaga gerai mengikut jadual yang telah ditetapkan supaya dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajaran masing-masing. Pendapat itu disokong rakannya, Azrinna Abd Aziz yang menganggap jika mahasiswa bijak membahagikan masa, tiada masalah untuk mereka berjaya dalam akademik dan bidang lain yang diceburi.


Menyentuh mengenai perniagaan yang baru dimulakannya itu, beliau berkata, idea untuk membuka gerai itu timbul selepas mengetahui maklumat berkenaan daripada rakannya dari universiti lain. Selepas itu tanpa membuang masa beliau terus mendaftar dan membuat pinjaman sebanyak RM3,500 daripada Agro Bank sebagai modal permulaan perniagaan.
"Latihan dan ceramah berkaitan pengendalian gerai turut diberi serta dibekalkan dengan Standard Pengurusan Operasi (SOP) sebagai rujukan tambahan.
"Antara cabaran dihadapi sewaktu memulakan perniagaan ini adalah apabila ada rakan yang memperlekehkan usaha ini dengan mengatakan kami tidak mampu berjaya dalam bidang ini kerana masih belajar," katanya.


UPM galakkan pelajar ceburi bidang perniagaan
KECENDERUNGAN pelajar untuk berniaga di universiti menerima reaksi positif daripada pihak pengurusan UPM yang menyifatkannya satu perkembangan baik dalam melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan pelajar.


Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan, berkata pihaknya tidak pernah menghalang mana-mana pelajar untuk terbabit dalam bidang keusahawanan, malah lebih menggalakkan kerana ia termasuk antara agenda kritikal Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).


Selain itu, KPT juga telah mewajibkan semua pelajar di universiti untuk mengambil subjek keusahawanan sebanyak dua jam kredit bagi memperkukuhkan kemahiran insaniah mereka. Katanya, selain subjek keusahawanan, UPM sendiri turut mengambil langkah proaktif apabila sering menghantar pelajar ke mana-mana pertandingan atau program berkaitan keusahawanan.


"Tujuan kita menghantar pelajar menyertai program sebegitu ialah untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai bidang keusahawanan yang sebenar supaya mereka mengetahui ‘sepak terajang’ sebenar dunia berkenaan dan bersedia apabila sudah tamat pengajian kelak.
"Kerana itu saya berbangga apabila ada pelajar UPM terbabit dalam bidang keusahawanan termasuk sudah ada yang berjaya membuka nurseri orkid milik sendiri," katanya.


Mengenai masalah yang boleh timbul kepada pelajar akibat berniaga ketika belajar, beliau berkata, ia antara cabaran yang perlu dihadapi mereka jika mahu berjaya dalam kedua-dua bidang berkenaan.
"Malah di sinilah (universiti) tempat yang sesuai untuk mereka belajar mengenai dunia perniagaan kerana jika melakukan kesalahan masih boleh diperbetulkan dengan mendapat teguran daripada pensyarah, tetapi bagaimana jika di luar, siapa yang akan berbuat demikian.


"Justeru bagi saya zaman belajar adalah masa terbaik untuk pelajar melakukan kesilapan supaya dari situ mereka boleh mempelajari sesuatu dan tidak mengulanginya lagi apabila berada di dunia perniagaan sebenar di luar kelak," katanya. 

(SUMBER:BERITA HARIAN)