Wednesday 29 February 2012

Atikah Ashari


Lumayan berniaga online
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN

BAGI pasangan muda Atikah Ashari dan Iskandar Zulkarnain masing-masing berusia 23 tahun, berniaga menerusi Internet mampu memberikan pulangan lumayan. Pasangan yang baru mendirikan rumah tangga pada Mei lalu menumpukan perhatian kepada jualan tudung.


Atikah yang lebih dikenali sebagai Ika di kalangan rakan-rakan facebooknya juga amat popular menerusi laman web www.radiusite.com. Dia yang minat berniaga sejak sekolah rendah lagi telah mencuba pelbagai jenis perniagaan tetapi terhenti separuh jalan.


"Saya selalu menjenguk mudah.com atau apa saja perniagaan online. Dari situ bermula minat saya untuk cuba berniaga menerusi Internet," katanya yang memulakan perniagaan tersebut sejak setahun lalu.
Siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pelancongan itu belajar membuka blog untuk memasarkan tudung.


Di peringkat awal, dia mengakui kurang mendapat sambutan kerana mungkin disebabkan gambar-gambar yang diambil kurang menarik.Namun Atikah tidak mudah mengalah. Dia bersungguh-sungguh membangunkan blognya dengan paparan gambar menarik sehingga berjaya dikunjungi ramai. Bermodalkan RM500 di peringkat permulaan, siapa sangka pasangan muda itu pernah dilonggokkan dengan 1,000 helai tudung. Mereka berjaya menjualnya dalam tempoh seminggu menerusi online.


Malah tudung jenis Balqis pernah terjual sebanyak 496 helai dalam masa dua hari.Ditanya rahsia sambutan memberangsangkan, Atikah memberitahu, kualiti menjadi keutamaan. Dia juga memastikan setiap hiasan pada tudung seperti manik dijahit teliti untuk memastikan kepuasan pelanggan.Melihat laman web Radiusite, ternyata Atikah sentiasa berkomunikasi dengan pelanggan. Selain itu dia juga memberi tunjuk ajar tentang cara pemakaian tudung. Justeru, tidak hairan sambutan yang diterimanya sangat menggalakkan.
Biar pun menjalankan bisnes menerusi Internet tampak mudah tetapi bagi Atikah dan pasangannya, mereka perlu menguruskan segala-galanya tanpa mengenal waktu.


Adakalanya mereka bertungkus lumus membungkus kemas lebih 200 bungkusan sehari dan memastikan setiap alamat dicatatkan dengan betul supaya barang yang dipesan sampai dengan selamat. Mengenai cabaran menceburi perniagaan online, Atikah memberitahu, secara keseluruhannya tidak banyak kesulitan kecuali ada pelanggan yang agak cerewet selain masalah yang sama seperti dihadapi Nurhafiza iaitu pelanggan tidak memaklumkan status tempahan.


''Apabila pelanggan buat tempahan, biasanya kami akan tunggu pengesahan, nak jual pada orang lain tak sampai hati.
''Tapi masalahnya ramai yang buat tempahan kemudian hilang tanpa membatalkan pesanan,'' katanya.


(SUMBER:UTUSAN)